Monday, June 6, 2011

gadis berambut panjang

Dia tahu dia tidak patut berada di situ, apatah lagi membiarkan masa dengan begitu sahaja berlalu. Dia tahu dia tidak patut berdiri di situ lama-lama. Dia tahu dia hanya menambah dosa yang ditanggungnya dengan hanya melihat. Tapi matanya tidak mahu berkalih, kakinya kaku tidak mahu bergerak, badannya keras tidak mahu bertindak. Bila adik perempuannya menarik tangannya serta merengek manja, barulah dia kembali ke alam nyata. Dia mula tersedar, dan dengan lembut dia memimpin tangan si kecil mengajak pulang.

Malam itu, usai solat, dia menadah tangan mengadap Ilahi. Dia dengan tulus memohon ampun daripada Tuhan sekelian alam. Dia memohon ampun atas dosa yang dilakukannya pada siang yang berlalu. Memang dia tidak harus melihat seraut wajah yang ayu itu. Memang salahnya kerana terpana dengan kecantikan dan keanggunan gadis itu. Memang salahnya membiarkan mata merenung rambut panjang mengurai kepunyaan gadis itu. Dia tahu dia salah, tapi dia juga manusia biasa yang tidak ma’sum. Dia hanyalah seorang lelaki normal yang mudah tertawan pada keindahan seorang wanita.

'Astagfirullah, maafkan aku...'

No comments:

Post a Comment