Sunday, June 19, 2011

anisa

Anisa serba salah. Dia tidak tahu mahu berbuat apa bila hanya muka masam yang ditunjukkan oleh Shila. Anisa tahu, Shila susah hati memikirkan nasib dan masa depannya. Anisa tahu, Shila gusar mengenangkan hidupnya yang kini terasa kelabu. Anisa memang bukan orang yang paling rapat dengan Shila di dalam dunia ini, tapi Anisa dapat memahami keresahan Shila yang kini semakin menjadi-jadi.


Bila bersemuka dengan Pak Talib dan Mak Leha, Anisa makin keliru. Pak Talib dan Mak Leha seringkali bertanyakan hal Shila pada Anisa. Wajah Pak Talib dan Mak Leha yang sayu menjentik rasa syahdu dalam jiwa Anisa. Pak Talib dan Mak Leha orang tua, mereka pasti tidak memahami keinginan orang muda zaman kini. Shila anak mereka, tapi mereka kurang memahami dia. Anisa pula, sering menjadi orang tengah dalam menjernihkan suasana.


Anisa tahu apa kehendak Shila. Bila Pak Talib dan Mak Leha menyatakan perasaan kurang senang mereka terhadap lelaki pilihan Shila, Shila terus diam. Apa yang lagi yang kurang pada lelaki itu yang membuatkan mereka kurang berkenan dengan pilihannya. Bila Pak Talib dan Mak Leha bertanyakan pendapat Anisa tentang lelaki itu, Anisa tidak mampu menjawab apa-apa. Anisa hanya mengenali lelaki pilihan Shila melalui satu nama dan raut wajah. Anisa tidak arif tentang kehidupan dan latar belakang lelaki itu. Anisa tahu, Pak Talib dan Mak Leha bimbang akan masa depan Shila jika lelaki yang dipilihnya itu bukan daripada latar belakang yang baik.


Anisa juga tahu, Shila bukan yang jenis cepat berpaling tadah. Bila Shila sudah membuat keputusan, dia akan tegar mempertahankannya. Shila bukan ingin menderhaka, tapi dia yakin instuisi hatinya benar. Asal sahaja Pak Talib dan Mak Leha mahu memahami kemahuan hatinya.


Anisa jadi semakin bingung. Anisa tidak tahu ingin menyebelahkan siapa. Anisa mahu melihat Shila hidup gembira dengan pilihannya, tapi Anisa juga tidak mahu nanti keputusan Shila mengundang padah yang mungkin mengguris hati Pak Talib dan Mak Leha. Anisa mahu ketiga-tiga mereka, Pak Talib, Mak Leha, dan Shila, tanpa seorang pun yang terluka, dapat menerima dengan tenang dan senang akibat dari perbuatan mereka, tidak kira apa pun keputusannya.

Friday, June 10, 2011

pilih bulu?

Saya anak lelaki tunggal dalam keluarga. Kadang-kadang saya terfikir, bagaimana perasaan adik-beradik saya yang memiliki saya sebagai abang dan adik dalam keluarga ni? Saya anak kedua dan mempunyai tiga orang adik di bawah saya. Disebabkan hanya saya yang berjantina lelaki dalam keluarga ini selepas ayah saya, saya dapati saya ada banyak keistimewaan berbanding yang lain.

Kakak sulung saya misalnya, selalu bertanyakan apa-apa yang saya mahukan, sedangkan dia tidak bertanyakan semua itu pada adik-adik saya. Bila saya ke dapur, dan kebetulan kakak juga di dapur, pasti dia dengan senang memberitahu saya apa-apa yang ada di dapur.

"Air teh ada dalam jag tu."

"Kenapa makan keropok je? Kan mi goreng ada bawah tudung saji tu?"

"Nak air panas tak? Nak buat ni."

Kalau adik-adik saya yang bertanya, mesti kakak akan jawab,

"Carilah sendiri!"

"Malas la, buat sendiri!"

Nampak kan bezanya? Saya bersyukur dengan layanan kakak pada saya, tapi saya kesiankan adik-adik saya.

Pendapat anda macammana?

Thursday, June 9, 2011

gathering

Best betul bila dapat lepak-lepak dengan kawan-kawan lama. Ye lah, habis je sekolah dulu, tak ada can lagi nak jumpa diorang. Dah jumpa, duk lepak kat KFC hampir 2 jam, makan-makan then round satu bandar ni. Seronok!

Tuesday, June 7, 2011

Monday, June 6, 2011

gadis berambut panjang

Dia tahu dia tidak patut berada di situ, apatah lagi membiarkan masa dengan begitu sahaja berlalu. Dia tahu dia tidak patut berdiri di situ lama-lama. Dia tahu dia hanya menambah dosa yang ditanggungnya dengan hanya melihat. Tapi matanya tidak mahu berkalih, kakinya kaku tidak mahu bergerak, badannya keras tidak mahu bertindak. Bila adik perempuannya menarik tangannya serta merengek manja, barulah dia kembali ke alam nyata. Dia mula tersedar, dan dengan lembut dia memimpin tangan si kecil mengajak pulang.

Malam itu, usai solat, dia menadah tangan mengadap Ilahi. Dia dengan tulus memohon ampun daripada Tuhan sekelian alam. Dia memohon ampun atas dosa yang dilakukannya pada siang yang berlalu. Memang dia tidak harus melihat seraut wajah yang ayu itu. Memang salahnya kerana terpana dengan kecantikan dan keanggunan gadis itu. Memang salahnya membiarkan mata merenung rambut panjang mengurai kepunyaan gadis itu. Dia tahu dia salah, tapi dia juga manusia biasa yang tidak ma’sum. Dia hanyalah seorang lelaki normal yang mudah tertawan pada keindahan seorang wanita.

'Astagfirullah, maafkan aku...'

Thursday, June 2, 2011

saya pilih keluarga

Keluarga atau sahabat?

Diri sudah menyatakan persetujuan bersama-sama mereka untuk menjayakan satu program. Walaupun pada mulanya agak keberatan, diri menurut atas dasar sahabat. Pengetahuan kosong, pengalaman apatah lagi. Hanya mampu berserah pada takdir serta pertolongan dan bantuan mereka untuk melakukan apa yang sepatutnya.

Beberapa hari sebelum program bermula, sesuatu menduga. Keluarga amat memerlukan diri untuk berada di rumah meringankan beban mereka. Walaupun tidak banyak, anugerah tangan dan kaki yang diberi oleh Allah ini mampu digunakan untuk mengurangkan penat dan lelah mereka.

Maka, bila tiba hari itu, saya telah memilih keluarga.

Sampai ke hari ini, diri masih dibelenggu rasa bersalah kerana tidak menunaikan amanah yang telah diberikan oleh sahabat-sahabat. Namun, pada masa yang sama, diri dituntut untuk menjalankan tanggungjawab sebagai anak.

Salahkan saya memilih keluarga dan mendahului sahabat-sahabat yang saya sayangi? Kedua-duanya penting dan berharga dalam hidup saya, tapi saya tidak mampu berada di dua tempat yang berbeza dalam satu masa.

Jadi, bagaimana?

Wednesday, June 1, 2011

dia berbaju hijau

Kali terakhir saya melihat dirinya, dia berbaju hijau. Sedang asyik dengan rutinnya sehingga tidak berpaling apabila saya berjalan di tepi. Mungkin dia dapat menangkap derap tapak kaki saya, tapi dia tidak endahkan, kerana dia tidak tahu apa-apa. Atau mungkin, dia sengaja berbuat begitu. Jual mahal agaknya.

Biarlah, kerana saya juga senang begitu. Saya senang berharap dalam diam, merenung wajahnya dari kejauhan, menbuatkan saya tersenyum hingga ke malam.

Awak yang berbaju hijau, saya maksudkan apa yang saya kata.

Saya maksudkan awak.