Sunday, June 19, 2011

anisa

Anisa serba salah. Dia tidak tahu mahu berbuat apa bila hanya muka masam yang ditunjukkan oleh Shila. Anisa tahu, Shila susah hati memikirkan nasib dan masa depannya. Anisa tahu, Shila gusar mengenangkan hidupnya yang kini terasa kelabu. Anisa memang bukan orang yang paling rapat dengan Shila di dalam dunia ini, tapi Anisa dapat memahami keresahan Shila yang kini semakin menjadi-jadi.


Bila bersemuka dengan Pak Talib dan Mak Leha, Anisa makin keliru. Pak Talib dan Mak Leha seringkali bertanyakan hal Shila pada Anisa. Wajah Pak Talib dan Mak Leha yang sayu menjentik rasa syahdu dalam jiwa Anisa. Pak Talib dan Mak Leha orang tua, mereka pasti tidak memahami keinginan orang muda zaman kini. Shila anak mereka, tapi mereka kurang memahami dia. Anisa pula, sering menjadi orang tengah dalam menjernihkan suasana.


Anisa tahu apa kehendak Shila. Bila Pak Talib dan Mak Leha menyatakan perasaan kurang senang mereka terhadap lelaki pilihan Shila, Shila terus diam. Apa yang lagi yang kurang pada lelaki itu yang membuatkan mereka kurang berkenan dengan pilihannya. Bila Pak Talib dan Mak Leha bertanyakan pendapat Anisa tentang lelaki itu, Anisa tidak mampu menjawab apa-apa. Anisa hanya mengenali lelaki pilihan Shila melalui satu nama dan raut wajah. Anisa tidak arif tentang kehidupan dan latar belakang lelaki itu. Anisa tahu, Pak Talib dan Mak Leha bimbang akan masa depan Shila jika lelaki yang dipilihnya itu bukan daripada latar belakang yang baik.


Anisa juga tahu, Shila bukan yang jenis cepat berpaling tadah. Bila Shila sudah membuat keputusan, dia akan tegar mempertahankannya. Shila bukan ingin menderhaka, tapi dia yakin instuisi hatinya benar. Asal sahaja Pak Talib dan Mak Leha mahu memahami kemahuan hatinya.


Anisa jadi semakin bingung. Anisa tidak tahu ingin menyebelahkan siapa. Anisa mahu melihat Shila hidup gembira dengan pilihannya, tapi Anisa juga tidak mahu nanti keputusan Shila mengundang padah yang mungkin mengguris hati Pak Talib dan Mak Leha. Anisa mahu ketiga-tiga mereka, Pak Talib, Mak Leha, dan Shila, tanpa seorang pun yang terluka, dapat menerima dengan tenang dan senang akibat dari perbuatan mereka, tidak kira apa pun keputusannya.

No comments:

Post a Comment