Monday, May 23, 2011

hari-hari di hadapan

Hari-hari di hadapan
akan ku lalui dengan tenang
akan ku semai alunan zikrullah
agar bersemadi dalam jiwaku
terjalin kukuh di kalbuku
akanku cipta sejarah diriku
dengan izin dan berkat-Nya
insya-Allah.

Wednesday, May 18, 2011

saya perlu dia

Dia orang kedua yang mampu saya luahkan segala-galanya selepas yang pertama. Mungkin saya sedikit memilih, sehinggakan saya perlu mencari dia untuk berkongsi cerita sedangkan di sekeliling saya begitu ramai yang boleh mendengar. Benar, saya tidak berasa begitu selesa untuk bercerita segala-galanya tentang diri saya. Hanya dia dan dia yang tahu.

Kini, dia juga jauh, seperti juga yang pertama. Bila saya memerlukan dia, dia tidak selalu ada di depan mata, tidak juga di sisi saya. Tapi tidak mengapa, saya faham akan keadaannya. Seperti juga saya, dia sibuk dengan tanggungjawabnya, dan saya sedaya-upaya memujuk hati apabila dia tidak mampu meluangkan masa.

Saya rindu dia, dan saya rindu untuk melepaskan segala rasa dan gelora dalam jiwa saya. Saat ini, saya benar-benar inginkan dia, ingin agar dia muncul di depan mata saya, bersedia untuk menadah telinga serta bersedia untuk menghadiahkan senyumannya.

Saturday, May 14, 2011

dayusan

Tak mencukupi
segala kasih sayang-Mu
meski tak terkata
Kau beri segala

Akulah dayusan
syukurnya tidak pada-Mu
pada Mahabbah-Mu.

Thursday, May 12, 2011

keizinan

Semua orang punya kepunyaan dan kesayangan sendiri- kereta, rumah, pakaian, rezeki dan sebagainya. Semua tahu bahawa semua ini adalah pinjaman sementara dan seharusnya dikongsi dengan sekelian alam, paling tidak dengan orang-orang sekeliling. Allah S.A.W yang meminjamkan kita dengan segala kesenangan dan kemewahan yang kita peroleh. Siapa yang berusaha, dia akan dapat lebih. Sesuai dengan pepatah Arab, 'Siapa yang menanam, dialah yang akan menuai hasilnya'.

Jadi Allah S.A.W telah menetapkan rezeki dan kepunyaan setiap daripada kita. Maka, kita dilarang sama sekali untuk mengambil sesuatu yang bukan kepunyaan atau hak kita. Kalau kita buat juga, kita akan dikira sebagai zalim. Nak ke jadi orang yang zalim?

Sekecil-kecil benda pun ada pemiliknya. Kalau kita perlukan benda atau barang itu, seharusnya kita meminta keizinan daripada pemiliknya. Senang bukan? Mintalah izin untuk mengambil atau menggunakan sesuatu yang bukan hak kita kerana kelak kita yang akan merana.

Boleh faham apa yang saya ingin katakan? Alhamdulillah. Jangan jadi pencuri ya.

Wednesday, May 11, 2011

mereka tak faham

Kejadian makhluk memang kompleks. Bermula daripada sel, seterusnya bergabung menjadi tisu, membentuk organ dan akhirnya setelah disatukan organ-organ itu, terjadilah satu organisma- makhluk.

Manusia itu makhluk. Haiwan dan tumbuh-tumbuhan juga.

Tapi manusia lebih kompleks, bukan dari segi fizikalnya mungkin, tapi spiritualnya.

Manusia punya akal dan perasaan, dan setiap akal dan perasaan itu berlainan bagi setiap manusia. Jadi bolehlah saya katakan dengan sejujurnya- mereka tak faham saya. Sebab, kita semua tak sama.

Saya punya hati, dan mereka juga punya hati mereka. Ada masa hati-hati kami bersatu, tapi mungkin tali yang mengikatnya tidak cukup gagah. Setelah beberapa ketika, terlerai jua ikatan kami.

Maka, tinggallah hati ini sendiri lagi. Hati saya, yang saat bersendiri, mungkin sukar untuk mereka masuk dan mengetahui apa yang terkandung di dalamnya. Atau mungkin juga saya tak memberi keizinan untuk mereka cuba mendekati. Salah saya? Entah.

Saya ingin mereka mendengar suara saya, tapi suara saya hanya berlalu dengan angin yang tiba. Sekejap sahaja, suara saya hilang, tak didengari oleh mereka.

Saturday, May 7, 2011

menonjol


Lebih selesa berdiam diri. Tapi mereka kata sampai bila saya nak berada di takuk lama, asyik menjadi pendengar dan tidak berani bersuara. Saya kata, memang saya jenis yang tak suka menonjol. Saya malu dan tak mahu orang lain mengenali saya. Saya memang suka bersembunyi.

Bila dipaksa, barulah saya mengumpul seluruh kekuatan, semangat dan keberanian untuk berdiri di depan. Kalau tak dipaksa, jangan haraplah saya akan menawarkan diri. Kadang-kadang bila selalu dipaksa begini, saya agak suka sebab sekurang-kurangnya, saya boleh buang tabiat dan cuba untuk berubah. Cumanya, saya masih rasa tak selesa, lebih-lebih lagi bila saya fikir banyak mata yang memandang saya, terutamanya mereka-mereka yang bergelar lelaki. Saya tak nak mereka mengenali saya, tapi sekarang, mungkin saya sedikit perasan, tapi mereka sudah mengetahui kewujudan saya dan cara saya. Lalu bagaimana?

Monday, May 2, 2011

buta hidayah

Saya dapat satu mimpi. Dalam mimpi itu, saya seorang yang buta. Mata kanan saya tertutup rapat, mata kiri saya pula boleh dibuka sedikit. Terasa ada cahaya yang masuk melalui ruang itu, namun saya masih tidak mampu melihat apa-apa. Dunia yang dulu indah, kini menjadi gelap dalam sekelip mata. Hitam dan kelam. Hanya suara-suara sekeliling yang mampu saya dengari, bukan lagi wajah-wajah pemilik suara itu yang boleh saya lihat dahulu.Segalanya telah berubah.

Terjaga daripada tidur, Alhamdulillah, saya sedari saya masih boleh melihat. Saya sedari, saya yang buta itu hanyalah satu mimpi. Terus saya ceritakan pada sahabat saya dan bertanya pendapatnya.

"Kalau dilihat dari sudut positif, mungkin mimpi itu bermaksud bahawa Allah sudah memberikan hidayah depan mata awak, tapi awak telah jadi buta dan tak mahu menerima hidayah tersebut."

Astagfirullah. Adakah saya bukan sekadar buta mata fizikal, tetapi juga buta mata hati? Ya Allah, jauhkanlah daku ya Allah. Janganlah Kau butakan mata hati hamba-Mu ini. Hamba perlu pada hidayah-Mu. Maka celikkanlah kembali hati yang kini parah dan tenat ini. Hamba mohon ya Allah...